'Jual' anak seawal usia 5 tahun di Afghanistan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

AFGHANISTAN - Krisis kemanusiaan di Afghanistan ketika ini memaksa kebanyakan golongan ibu bapa 'menjual' anak mereka dengan mengahwinkan kanak-kanak berkenaan pada usia yang terlalu muda.

Di daerah Qadis yang dilanda gempa bumi sebelum ini, kanak-kanak seawal usia 7 tahun dijual untuk tujuan itu kerana kemiskinan.

Abdul Ghani, adalah antara ibu bapa terlibat dengan perjanjian menjual anaknya, Hajira yang berusia 5 tahun hanya pada bayaran AS$1,500 (RM6,270).

Namun, atas faktor kecederaan di kaki anaknya akibat gempa, lelaki ini belum menerima apa-apa bayaran setakat ini.

"Hajira dijual sebelum dia cedera dan ini yang berlaku ke atasnya. Sekarang, dia tidak memberikan hasil apa-apa kepada saya. Saya masih ada AS$1,050 hutang yang perlu dibayar," katanya.

Abdul Ghani sebelum ini telah mengahwinkan anaknya Saleha, 9 tahun untuk membayar hutang dan membeli makanan.

"Saya telah dijual kerana masalah kelaparan," kata Saleha.

Malah, ramai ibu bapa di negara bergolak itu kini sedang mencari 'pembeli' berpotensi untuk anak-anak mereka kerana kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

Tidak kurang juga ada ibu yang sudah berniat untuk menjual anaknya pada usia 2 tahun kerana tidak mampu lagi bertahan dengan ketiadaan wang dan makanan.

Taliban menguasai Afghanistan sejak Ogos tahun lalu menyebabkan negara itu kehilangan berbilion dolar bantuan antarabangsa.

Malah, penguasaan puak itu meningkatkan lagi masalah kemiskinan, peperangan, selain diburukkan dengan isu bencana alam seperti banjir dan gempa bumi.

Awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah melancarkan rayuan bantuan sebanyak 5 bilion dollar bagi membantu Afghanistan. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!