Larangan merokok dapat sokongan orang muda

KKM sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game. - Gambar hiasan 123rf
KKM sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai bersetuju dan menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan larangan merokok dalam kalangan generasi muda.

Seorang perunding insuran, Muhammad Hazim Hamdan, 26 berkata, umum sedia maklum, merokok bukanlah satu amalan yang baik, bahkan asap rokok boleh memberi implikasi buruk bukan sahaja kepada perokok malah berisiko menjejaskan individu di sekeliling mereka yang digelar sebagai perokok pasif.

“Rokok di tangan tidak menunjukkan kematangan atau membuatkan seseorang nampak hebat, sebaliknya ia hanya akan memberikan persepsi negatif terhadap perokok,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu pihaknya sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti.

Katanya, pelaksanaan tersebut diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu dan KKM juga boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada.

Menurut seorang jurutera, Irfan Hadi Mohd Zulkafli, 25, inisiatif yang diambil oleh KKM diyakini mampu melahirkan generasi yang sihat dari segi mental dan fizikal.

“Dalam masa sama, kita juga mampu mengurangkan pencemaran asap rokok yang mengandungi beribu-ribu bahan kimia berbahaya yang mampu dihasilkan oleh sebatang rokok,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Gambar dari kiri: Irfan Hadi, Nur Shafika, Shahmi Latib, Muhammad Hazim, Musriani Ahmad
Gambar dari kiri: Irfan Hadi, Nur Shafika, Shahmi Latib, Muhammad Hazim, Musriani Ahmad

Turut senada, seorang pelajar kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Shafika, 22 berkata, dia bersetuju dengan larangan merokok kepada generasi akan datang dengan had umur yang dikenakan mestilah 18 tahun dan ke bawah.

Tambahnya, ini kerana ia dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit yang berpunca daripada merokok seperti lelah dan penyakit jantung.

“Pencemaran udara yang disebabkan oleh asap rokok yang mengandungi nikotin dan bahan- bahan kimia beracun yang lain juga dapat dikurangkan. Pelaksanaan ini dapat membentuk generasi yang sihat tubuh badan dan minda yang cekal,” jelasnya.

Bagi Musriani Ahmad Mustar, 32 pula, larangan tersebut sekali gus dapat menjadikan kedudukan kewangan individu terlibat lebih baik susulan mereka tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli rokok.

“Mungkin harganya nampak murah bagi sesetengah orang, tetapi jika dihitung perbelanjaan rokok secara keseluruhan lebih- lebih lagi bagi perokok tegar, bayangkan berapa banyak wang yang dibazirkan,” katanya.

Sementara itu, Shahmi Latib, 34, berkata, generasi muda yang bebas rokok berupaya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat di sesuatu kawasan.

“Saya harap larangan ini dapat dilaksanakan dengan lebih proaktif dan tegas.

“Sebelum ini pun memang banyak kempen berhenti merokok, namun ia dipandang enteng dan tidak memberi impak yang besar, justeru KKM perlu pastikan usaha ini dipandang serius oleh semua pihak,” jelas pemilik bengkel kereta itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!