SKMM sekat 5,476 laman judi online
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat sebanyak 5,476 laman sesawang perjudian sejak tahun 2016 sehingga 31 Januari.
Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya menjalankan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membendung kegiatan tidak bermoral tersebut.
Menurutnya, kebarangkalian untuk mendapat durian runtuh antara punca utama ramai terjebak dalam kegiatan tersebut yang mana aplikasi dan laman web perjudian berkenaan bukan sahaja beroperasi secara domestik malah dari luar negara.
"Keadaan ekonomi ketika ini membuatkan orang ramai lebih mudah tertarik kepada peluang mudah bagi menjana pulangan dan boleh diperoleh dalam masa yang singkat.
"Antaranya termasuklah aktiviti perjudian. Platformnya bukan sahaja diwujudkan untuk pengguna di Malaysia tetapi kepada pengguna seluruh dunia yang mana aktiviti ini tidak menyalahi undang-undang di negara-negara tertentu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, dalam usaha membendung kegiatan tersebut daripada kian menular, SKMM melaksanakan sekatan akses ke atas laman sesawang yang dikesan terbabit dalam aktiviti perjudian.
Katanya, tindakan diambil di bawah bidang kuasa PDRM mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).
"PDRM menjalankan tindakan siasatan dan penguatkuasaan yang mana pihak SKMM memberikan bantuan teknikal termasuklah pembekalan maklumat bagi tujuan siasatan serta bantuan dari sudut analisis forensik digital.
"Sebanyak tujuh alamat IP yang boleh dikaitkan dengan aplikasi judi dalam talian telah diambil tindakan sekatan oleh PDRM berdasarkan kesalahan di bawah Akta 289 sejak Januari," katanya.
Katanya, orang ramai perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian dengan cara melaporkan kepada SKMM jika menerima sebarang bentuk promosi berkaitan judi menerusi pesanan ringkas (SMS) atau mana-mana platform.
"Laporkan nombor talian atau akaun media sosial tersebut kepada penyedia perkhidmatan aplikasi atau penyedia platform media sosial sebagai spam.
"Ia supaya nombor telefon atau akaun media sosial tersebut tidak dapat lagi menghantar iklan promosi judi dalam talian kepada pengguna yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!