Bekalan telur pulih tidak lama lagi
HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur ayam dalam pasaran akan kembali stabil dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.
"Kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.
"Jaminannya minggu akhir Februari isu ini akan selesai," katanya kepada pemberita selepas meninjau ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.
Jelas beliau, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan.
"Data pada Februari menunjukkan kekurangan sebanyak 3 juta ekor ayam tetapi selepas ini pengeluaran ayam dijangka melebihi 60 juta. Jadi isu ini akan selesai Insya- ALLAH," katanya.
Menurut Rosol, susulan masalah ini, kerajaan menetapkan peraturan baharu agar pembekal ayam dan telur di seluruh negara mengemukakan jumlah stok bahan keperluan itu secara mingguan berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak isu sama berulang.
"Ini penting supaya kita boleh mengambil langkah lebih awal sekiranya berlaku kekurangan bekalan telur dan ayam dalam pasaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!