Lelaki asing bersenjata api: Polis Sabah masih siasat
PUTATAN - Polis Sabah tidak memandang ringan dakwaan kehadiran sekumpulan lelaki warga asing berpakaian celoreng serta bersenjata api menyusup ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, walaupun setakat ini tiada petunjuk berhubung perkara itunamun siasatan masih dilakukan.
"Setakat ini, kita masih melakukan siasatan susulan dan risikan bagi mengetahui sejauh mana kesahihan maklumat berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Jalan Meruntum, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung perkembangan pemantauan keselamatan di kawasan Tambisan, selepas dakwaan itu dilaporkan media pada Khamis lalu.
Jauteh turut memaklumkan setakat ini polis sudah menerima laporan daripada individu yang mendakwa kehadiran sekumpulan warga asing berkenaan.
"Ada laporan polis dibuat di Lahad Datu dan kita sebenarnya sentiasa bersiap siaga, bukan kerana maklumat ini sahaja. Kita akan berusaha mengatas pencerobohan atau ancaman ke atas keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.
Pada Jumaat, polis Sabah mengesahkan tiada sebarang petunjuk berhubung dakwaan yang dilaporkan media sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!