PRN Johor bukan ikut kehendak kluster mahkamah: Hasni
ISKANDAR PUTERI - Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan bukannya mengikut kehendak 'kluster mahkamah'.
Katanya, pelbagai tohmahan dilemparkan sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan pada 22 Januari lalu.
"Macam macam tuduhan dilemparkan termasuk saya buat keputusan adakan PRN Johor sebab ia kehendak kluster mahkamah selain untuk memulakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Namun pihak yang menuduh ini tidak sekelumit pun fikir PRN Johor diadakan untuk bentuk kerajaan yang stabil bagi membangunkan negeri yang lebih kukuh dan kuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Wilayah Johor Barat, di Stadium Tertutup Educity, di sini pada malam Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga adalah Pengarah PRN Johor BN,
Dalam pada itu, Hasni menjelaskan kerajaan negeri di bawah pimpinannya boleh sahaja mengambil keputusan membubarkan DUN sehingga penggal DUN tamat.
"BN boleh sahaja tunggu sampai habis penggal dan selesa dengan jawatan dipegang, di mana perlu tunggu 481 hari lagi sebelum penggal tamat.
"Namun 481 hari itu jika tidak lakukan sesuatu, kita akan nafikan hak dan suara sebenar rakyat Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!