Aksi bahaya di lebuh raya, pelajar ditahan

Polis menahan lapan samseng jalanan selepas dikesan melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban pada Sabtu.
Polis menahan lapan samseng jalanan selepas dikesan melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar berusia 15 tahun antara lapan samseng jalanan yang ditahan selepas melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban, dekat sini pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, Operasi Khas Samseng Jalanan oleh sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman menahan kesemua penunggang motosikal melalui tangkapan berasingan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan tiga penunggang selepas dikesan melakukan aksi 'Superman', bersaing sesama sendiri dan zig-zag.

"Ketiga-tiga penunggang itu kemudian memberhentikan motosikal di stesen minyak di Mambau, Seremban sebelum ditahan.

"Pemeriksaan mendapati, seorang daripada mereka merupakan pelajar berusia 15 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Mohd Nadzri, lima lagi penunggang ditahan selepas didapati melakukan aksi sama.

Katanya, siasatan mendapati lapan penunggang terbabit terdiri daripada dua kumpulan berbeza.

"Kumpulan pertama dikesan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban, Negeri Sembilan manakala kumpulan kedua dalam perjalanan ke Nilai selepas pulang dari restoran di Seremban," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, polis menyita kesemua motosikal terbabit jenis Yamaha 135LC, Yamaha Y15ZR dan Kawasaki RR 150.

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 24 tahun dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan BSPT IPD Seremban untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!