Rangnick tak puas hati United tersingkir
PENGENDALI Manchester United, Ralf Rangnick tidak berpuas hati apabila skuad kendaliannya tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas 7-8 menerusi penentuan sepakan penalti kepada kelab Liga Kejuaraan Middlesbrough pada Sabtu.
Menurutnya, kekalahan pada pusingan keempat di Old Trafford itu mungkin boleh dielakkan sekiranya pengadil perlawanan tidak mengiktiraf gol penyamaan skuad Ironopolis itu pada minit ke-64.
“Bagaimana jaringan penyamaan itu boleh dikira sedangkan bola jelas terkena tangan pemain Boro?
“Kenapa pula ia dikira sebagai tidak disengajakan? Jelas, ia satu keputusan yang boleh dipertikaikan.
“Setelah mendahului, kami kemudiannya dibolosi oleh gol penyamaan pasukan lawan yang tidak seharusnya berlaku,” katanya.
Pada aksi pusingan keempat Piala FA itu, skuad The Red Devils mendahului menerusi jaringan Jadon Sancho pada minit ke-25 sebelum Matt Crooks menjaringkan gol penyamaan buat Boro pada minit ke-64.
Gol berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan dan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Pada penentuan sepakan penalti berkenaan, Boro menewaskan United 8-7 apabila sepakan penalti terakhir pemain gantian United, Anthony Elanga tinggi melewati palang gol.
Sementara itu, Rangnick turut mengakui ada beberapa lagi keputusan pengadil yang dilihat agak meragukan.
“Di sebalik kesemua keputusan-keputusan itu, kita juga seharusnya menyalahkan diri kita sendiri apabila mensia-siakan beberapa peluang gol.
“Antaranya, sepakan penalti yang gagal disempurnakan oleh Cristiano Ronaldo selain Bruno Fernandes gagal memanfaatkan peluang apabila percubaannya tersasar ke tiang gol,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!