Pendekatan mampan penting untuk pemulihan industri penerbangan

Tony Fernandes
Tony Fernandes
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menyeru kepada pendekatan yang lebih mampan untuk membantu industri penerbangan di rantau ini pulih daripada kesan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Sekatan perjalanan hanya boleh diterima pada peringkat awal wabak dan sejak dua tahun lepas, Malaysia telah belajar menguruskan Covid-19 dengan penggunaan topeng, penjarakan sosial serta vaksin.

"Apabila kes-kes mula berkurangan dan jejak penularan dapat dikesan, ia mewujudkan ruang pengkajian lebih mendalam mengenai virus berkenaan, seterusnya, hospital boleh bersedia dan vaksin diperkenalkan.

"Tetapi pengajaran utama yang meninggalkan kesan adalah kesia-siaan sekatan perjalanan jangka panjang," beliau berkata dalam akaun LinkedIn miliknya pada Sabtu.

Fernandes menjelaskan bahawa sekatan perjalanan nampaknya masih kekal walaupun keperluannya tidak menampilkan perbezaan ketara.

"Selepas virus atau sesuatu varian bebas beredar dalam negara, apa-apa jangkitan yang diimport hanya mewujudkan sedikit perbezaan kepada beban penyakit tetapi rakyat lebih menderita akibat kesan sosial dan impak sekatan susulan sekatan perjalanan," katanya.

Katanya, satu lagi isu adalah orang masih mendapat kebenaran untuk menyeberangi sempadan seperti pekerja penting dan diplomat.

"Australia dan New Zealand mungkin berjaya melaksanakan sekatan perjalanan jangka panjang tetapi akhirnya menanggung kos yang amat besar khususnya ke atas hubungan global serta kesejahteraan rakyat mereka, ini tidak mampan.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan terbaik dan lebih mampan adalah untuk mempromosikan dasar kos efektif (vaksin serta penggalak) termasuk penggunaan logik," kata Fernandes.

Beliau menjelaskan sekatan tidak boleh dikenakan hanya bagi memperlihatkan ketegasan, kerana sebarang langkah tersebut harus sentiasa bertujuan untuk dibuat penyesuaian dan mengurangkan gangguan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!