Dua pusat hiburan diserbu, 73 pengunjung dikompaun
KUALA LUMPUR - Seramai 73 pengunjung dan dua pemilik premis dikompaun berjumlah RM75,000 dalam serbuan di dua pusat hiburan di ibu negara pada Jumaat.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, dua pemilik pusat hiburan berkenaan masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.
"Kedua-dua pusat hiburan berkenaan didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 2021.
"Seramai 73 pengunjung juga dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, sejak 1 Januari lalu, sebanyak 238 kompaun berjumlah RM238,000 telah dikeluarkan ke atas individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!