Tolak calon lompat parti tanding PRN Johor: Anwar
JOHOR BAHRU - Pengundi perlu menolak calon lompat parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengundi perlu memilih calon yang berprinsip dan setia kepada parti untuk menjadi wakil rakyat mereka.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, wakil rakyat yang melompat parti dianggap sebagai pengkhianat parti dan pengundi perlu teliti serta berhati-hati supaya tidak tersalah pilih.
"Masa berkempen orang bekerja (jentera) setengah mati dan tiada bayaran, tetapi apabila menang, dia senang, dia khianat...jangan maafkan orang begini.
"Khianat kepada parti ini boleh sampai menyebabkan jatuh kerajaan. Sebab itu kita harus teliti betul-betul orang yang kita rasa yakin, setia dengan perjuangan parti dan berprinsip.
"Ini maruah dan integriti serta 'ethical values' kita tidak boleh ketepikan," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di Ulu Tiram di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, persiapan jentera serta ejen mengundi dan ejen pengiraan undi (PACA) PKR dilihat berada dalam permulaan yang baik.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, jentera di kawasan yang mempunyai pengundi ramai seperti DUN Tiram perlu melakukan gerak kerja lebih awal untuk mendekati pengundi.
Jelasnya, jentera tidak perlu menunggu sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini.
"Gerak kerja perlu dimulakan dari sekarang dan tumpuan penuh perlu diberikan walaupun calon-calon belum diumumkan.
"Tidak kira pasal calon, kita bercakap sekarang ini soal jentera-jentera untuk persiapan PRN, tetapi kita ada beberapa hari lagi (sebelum SPR umum tarikh mengundi dan gerak kerja) itu perlu jalan seolah-olah pilihan raya dalam dua atau tiga hari lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!