GRS mampu bertahan: Bung Moktar
KUDAT - Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan walaupun gabungan sembilan parti di dalamnya dianggap rapuh.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin bahawa kerajaan yang dibentuk itu mampu bertahan jika semua parti gabungan dan wakil rakyatnya dapat bekerja dalam satu pasukan bagi memenuhi aspirasi rakyat di negeri tersebut.
"Walaupun kerajaan sekarang dibentuk dari sembilan parti gabungan dan dianggap rapuh namun jika ada kesepakatan padu di kalangan anggota serta wakil rakyatnya, tidak ada sebab gabungan ini tidak mampu bertahan.
"Rakyat meletakkan kepercayaan serta aspirasi tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini. Justeru, kita perlu menghargai kepercayaan itu dengan kesungguhan bekerja memajukan Sabah dan melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan program 'Retreat Backbenchers'di sini, pada malam Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Backbenchers kerajaan GRS, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, perlu ada kebersamaan semua pihak bagi menghadapi krisis dihadapi negara ketika ini bagi mewujudkan kerajaan stabil.
"Kebersamaan serta kerjasama ini penting untuk menstabilkan negara di saat krisis politik, kesihatan serta situasi ekonomi sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19" katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, dalam memenuhi aspirasi rakyat, pendekatan baharu perlu dilakukan iaitu komited dan bertindak segera.
"Rakyat ketika ini begitu matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan serta wakil rakyat. Mereka tidak lagi terbuai dengan pengumuman berapa banyak peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan tetapi yang mereka harapkan umum dan tindakan segera bagi melaksanakannya," kata beliau.
Bung Moktar turut mengakui bahawa Sabah terlalu jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan insfrastruktur, kesihatan, pendidikan dan lain lain.
Katanya, disebabkan itu beliau lantang menyuarakan isu dan hak rakyat Sabah terutama dalam aspek pembangunan di dewan rakyat supaya diambil perhatian dan tindakan segera daripada kerajaan Pusat.
"Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat saya memang lantang membawa isu-isu pembangunan di Sabah namun saya terkilan setiap isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat di Sabah amat jarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tampil membuat kenyataan menyokong apa saya suarakan, seolah-olah memberikan gambaran kita tidak bersatu dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu Bung yang juga ADUN Lamag mahu setiap anggota ADUN GRS mengambil bahagian dalam sesi perbahasan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Beliau menggesa supaya ADUN berbahas membawa isu kawasan dan membawa isu relevan dengan kepentingan rakyat dan Sabah.
"Perlu menjadi ADUN berilmu dan berpengetahuan berasaskan fakta bagi menangkis provokasi dan propaganda dibawa oleh parti lawan semasa sidang DUN. Jika kita biarkan, ia memberikan persepsi negatif kepada kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!