Gempa Lombok: Wan Azizah ucap takziah, sedia bantu Indonesia

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datin Tai Siew Kim yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh akibat gempa bumi di Lombok Utara.

“Takziah buat anggota keluarga, sahabat handai dan komuniti wartawan atas pemergian mendiang Datin Tai Siew Kim. Semoga tabah dengan ujian ini,” katanya menerusi catatan di akaun Twitter miliknya, malam ini.

Terdahulu, beliau dalam catatan di Twitternya menzahirkan rasa dukacita terhadap berita sedih itu yang mengorbankan rakyat Malaysia.

Beliau berkata kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia untuk membantu Indonesia dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Berduka cita mendengar khabar berita kejadian tanah runtuh di Lombok yang turut mengorbankan rakyat Malaysia. Semoga semua pihak yang terkesan dengan kejadian runtuh ini terus sabar dan tabah.

Kerajaan Malaysia melalui @mynadma bersedia untuk membantu Indonesia @jokowi,” katanya.

Wisma Putra mengesahkan seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada pukul 2.07 petang waktu tempatan, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Siew Kim, 56, yang bertugas sebagai Timbalan Eksekutif Ketua Pengarang Sin Chew Daily.

Artikel Berkaitan:

Turut berkongsi kesedihan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam status Twitternya “Sayu atas berita kejadian gempa bumi yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat siang tadi dan turut melibatkan beberapa orang rakyat Malaysia. #DoaBuatLombok.

“Saya yakin perwakilan Malaysia di Indonesia akan segera memberikan bantuan kepada warganegara dan keluarga yang terlibat,” katanya sambil mendoakan keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam status ucapan takziah di Twitternya turut berkongsi tiada pelajar Malaysia terlibat dalam tragedi itu.

“Sedih menerima berita gempa bumi yang melanda Lombok, Nusa Tenggara Barat Tengah. Education Malaysia Indonesia dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memaklumkan tiada pelajar Malaysia yang terlibat. #DoaUntukLombok. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!