Petaling, Klang catat kes tipu permohonan bantuan banjir tertinggi
SHAH ALAM - Pemohon dari daerah Petaling dan Klang merekodkan kes penipuan permohonan bantuan banjir tertinggi sejak ia dibuka pada Disember lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan tersebut menyebabkan proses pemprosesan dan agihan bantuan di kedua-dua daerah tersebut lambat dilaksanakan.
Menurutnya, pertindihan permohonan yang berlaku menyebabkan pihak terbabit perlu menyemak semula serta mengasingkannya serta merta.
"Bila kita luluskan (permohonan) terus, ada potensi pertindihan, saya rasa daerah yang terdedah kepada perkara ini adalah Petaling dan Klang kerana jumlahnya tinggi.
"Kita akan lihat dulu (tindakan kepada pemohon yang menipu dapatkan bantuan banjir), tapi itu bukan keutamaan kita kerana kita nak selesaikan agihan bantuan banjir secepat mungkin," katanya ketika melawat tapak niaga di Wisma PKPS, Seksyen 14 di sini pada Sabtu.
Amirudin berkata, walaupun agihan bantuan banjir dijangka tamat pada Februari ini, namun pihaknya tetap membuka ruang kepada sebarang bantahan, rungutan atau permohonan yang tercicir daripada pemohon pada tempoh tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor menerima lebih 100,000 permohonan bantuan banjir dari kawasan-kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut sejak ia melanda melanda pada Disember lalu.
Ujarnya, sebanyak RM55 juta diagihkan kepada mangsa-mangsa tersebut setakat Khamis lalu meliputi lebih 50 peratus daripada jumlah permohonan.
Amirudin berkata, terdapat beberapa daerah hampir selesai menerima bantuan berkenaan, kecuali daerah Klang dan Petaling yang masih berbaki 40,000 mangsa yang masih belum mendapat bantuan tersebut.
"Kita lihat situasi dan prosesnya telah percepatkan, malah kita menyerahkan bantuan dengan cepat kerana kerajaan Persekutuan turut mengakui benda yang sama.
"Tapi disebabkan jumlahnya ramai, kita mengambil sedikit masa. Kita akan beri fokus untuk merangka semula strategi, saya percaya semuanya akan selesai pada hujung Februari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!