Selangor tetapkan harga siling runcit ayam standard RM8 sekilogram

Amirudin (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kiri), menunjukkan ayam yang dijual dengan harga murah RM8 sekilogram ketika jualan ayam murah di Wisma PKPS Seksyen 14, Shah Alam, pada Sabtu. - Foto Bernama
Amirudin (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kiri), menunjukkan ayam yang dijual dengan harga murah RM8 sekilogram ketika jualan ayam murah di Wisma PKPS Seksyen 14, Shah Alam, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melaksanakan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan, dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram sebagai usaha menangani lonjakan harga barang makanan ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, program selama dua minggu itu yang bermula Isnin ini, membabitkan penjualan ayam kepada orang ramai di dua outlet PKPS iaitu Pasar Borong Selangor dan Wisma PKPS.

"Kerajaan negeri akan menawarkan jualan ayam pada harga RM8 sekilogram, manakala harga telur ditetapkan RM11.70 daripada RM12.40 sepapan, dengan kos pengurangan harga itu ditanggung oleh PKPS menerusi dana RM1 juta.

"Program tersebut juga sebagai mengalu-alukan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengurangkan harga ayam,” katanya kepada pemberita di pekarangan Wisma PKPS di sini, pada Sabtu.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan Persekutuan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah RM8.90 sekilogram, iaitu pengurangan 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10.

Amirudin berkata, buat permulaan pihaknya memperuntukkan sebanyak 50,000 ekor ayam standard dengan pembelian dihadkan kepada dua ekor ayam bagi setiap individu untuk keperluan makanan.

"Ketika ini sebenarnya kita mempunyai ladang ayam yang mampu menghasilkan 540,000 ekor ayam bagi setiap (tempoh) pusingan dan setiap pusingan lebih kurang tiga bulan jadi setiap bulan kita ada lebih 150,000 ekor (ayam) kita boleh laksanakan,” katanya.

Menurutnya, selain harga ayam yang lebih murah, program intervensi harga itu turut menawarkan harga lebih munasabah berbanding harga pasaran bagi sayur dan telur ayam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kekurangan bekalan telur ayam di beberapa lokaliti di Selangor, beliau berkata pihaknya akan cuba berurusan dengan pengeluar telur terbesar (QL Resources Berhad) yang menyewa tanah anak syarikat kerajaan negeri, bagi memastikan bekalan telur ayam di Selangor mencukupi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!