Isu kompaun PLKS bot laut dalam, kerajaan sudah bincang
PASIR PUTEH – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membincangkan secara terperinci isu kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap pengusaha bot laut dalam yang didakwa gagal memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebelum 31 Disember lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan juga sudah menemui kata sepakat berhubung isu berkenaan memandangkan setiap keputusan yang dilakukan bukan dibuat secara melulu.
“Isu ini sudah dibincangkan dengan pengusaha laut dalam kita sudah dapat kata sepakat di mana kerajaan juga telah melakukan kajian terlebih dahulu sebelum menetapkan sesuatu bayaran. Bukan buat tanpa kajian,” katanya kepada pemberita, pada Sabtu.
Nik Muhammad Zawawi sebelum itu hadir Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warrior Fan Club (TJWFC) di Jeram Mengaji Agro Resort yang turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengusaha bot laut dalam di Tok Bali menyifatkan kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap mereka kerana gagal memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebelum 31 Disember lalu terlalu tinggi dan membebankan.
Mereka turut mendakwa disebabkan itu sebanyak 50 buah bot tersadai sekali gus menyebabkan 1,500 tan bekalan ikan 'terputus' di negeri berkenaan.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan menyediakan jalan untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan, Nik Muhammad Zawawi memberi jaminan, setiap masalah ada jalan cara penyelesaiannya tersendiri termasuk melalui kaedah teknikal dan sebagainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!