Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia KL akan tingkat kualiti hidup

Ismail Sabri ketika berucap semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, di sini pada malam Sabtu.
Ismail Sabri ketika berucap semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, di sini pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) yang bakal meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.

Ketika mengumumkan PKKMKL sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, beliau berkata, dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dan akan melaksanakan beberapa inisiatif.

"DBKL kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar. Bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan yang lebih selesa DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, di sini pada malam Sabtu.

Ismail Sabri berkata, DBKL juga akan membaiki sebanyak 306 lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

"Selain itu, bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkatkan dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal oleh ‘Kuala Lumpur Command and Control Centre’,” katanya.

Ismail Sabri berkata, DBKL juga akan menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna serta menaik taraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.

Katanya, untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam talian, DBKL akan memberikan kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam manakala keputusan permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, rebat 10 peratus akan diberikan sepanjang tahun ini untuk pembayaran yang melibatkan semua fi permohonan sebagai insentif untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata, dalam menangani isu perubahan iklim dunia, beliau menyokong penuh inisiatif Kuala Lumpur membantu kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon 2050 dan untuk itu ibu negara perlu maju seiring bandar raya besar lain.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!