Saya anggap 'masuk PBM' gurauan politik: Salahuddin
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menganggap desas-desus beliau akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai gurauan politik semata-mata.
Ahli Parlimen Pulai itu menegaskan, khabar angin seperti itu akan sentiasa kedengaran apabila berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mana-mana negeri.
“Sebelum ini ada yang kata saya nak masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan tinggalkan Amanah, tapi kali ini apabila hampir dengan PRN Johor, ada pula khabar angin kata saya sertai PBM pula.
“Tidak kurang juga ada yang kata saya nak jatuhkan kerajaan dulu. Jadi, saya anggap ini semua sebagai siulan-siulan politik sahaja,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan beberapa individu tampil menyangkal dakwaan akan menyertai PBM tidak lama lagi.
Antara nama disebut adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Salahuddin memaklumkan, Amanah kini di peringkat akhir dalam menentukan calon bagi PRN Johor akan datang.
“Kini Amanah sedang menyemak beberapa perkara lagi dan boleh dikatakan 95 persen (peratus) sudah selesai.
“Kami akan isytiharkan nama-nama calon yang akan bertanding nanti selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentukan tarikh penamaan calon, selalunya sebelum hari penamaan Amanah akan umumkan (nama calon),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!