Kejohanan Badminton Tertutup Johor platform cungkil bakat baharu
KEJOHANAN Badminton Tertutup Johor 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 13 Februari ini menjadi medan mencungkil bakat baharu bagi menggalas cabaran Johor di peringkat kebangsaan.
Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA), Mat Rasid Jahlil berkata, edisi ke-10 yang bakal diadakan di Dewan NS Sport, Gelang Patah itu mempertandingkan empat kategori.
"Ia membabitkan kategori Bawah 21, Bawah 16, Bawah 14 dan Bawah 12 tahun. Objektif penganjuran kejohanan ini adalah mengumpul seberapa ramai pemain di Johor untuk mereka beraksi secara kompetitif.
"Kejohanan ini juga menjadi pentas buat kami menilai dan memilih pemain untuk mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan.
"Selain itu, ini juga adalah salah satu persiapan untuk persatuan mendapatkan kelompok pemain berpotensi mewakili Johor bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma)," katanya dalam sidang media di Iskandar Puteri, pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis sidang media tersebut ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Nor Syazlan Abd Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj.
Sementara itu, Nor Syazlan memuji usaha JBA yang menganjurkan kejohanan tersebut bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam sukan badminton khususnya di Johor.
"Sememangnya pertandingan ini sangat membantu pemain muda di sekitar negeri Johor untuk beraksi secara kompetitif.
"Saya juga percaya terdapat ramai pemain dari akar umbi yang sangat berbakat dan mereka perlu didedahkan kepada pertandingan kompetitif seperti ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!