Tuchel positif Covid-19
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel disahkan positif Covid-19 hanya beberapa jam sebelum aksi pusingan keempat Piala FA menentang Plymouth Argyle, pada Sabtu.
Menurut kenyataan rasmi Chelsea, Tuchel akan melakukan pengasingan kendiri sebelum dijangka kembali menyertai anak-anak buahnya di Abu Dhabi minggu depan untuk saingan Piala Dunia Kelab.
Chelsea akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas tamat perlawanan Piala FA menentang Plymouth di Stamford Bridge.
Dalam saingan Piala Dunia Kelab Chelsea yang tampil selaku juara Liga Juara-Juara akan berdepan sama ada kelab Emiriah Arab Bersatu (UEA), Al Jazira atau juara Liga Juara-Juara AFC, Al Hilal dalam saingan separuh akhir di Stadium Mohammad Bin Zayed pada Rabu ini.
Jika Chelsea berjaya melangkah ke pentas final, skuad The Blues itu akan kekal di Abu Dhabi sehingga 12 Februari.
Kali terakhir Chelsea beraksi dalam final Piala Dunia Kelab pada 2012 yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada kelab Brazil, Corinthians.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!