Melahirkan penghayat lagu puisi

Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 17.0 berlangsung pada 2 Februari lalu dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.
Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 17.0 berlangsung pada 2 Februari lalu dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.
A
A
A

ISU lagu puisi yang kurang diminati dalam kalangan generasi muda tidak asing lagi di negara kita terutamanya dengan pertumbuhan pelbagai irama muzik dewasa ini. Lagu puisi juga dilihat tidak boleh diangkat sebagai wadah utama dalam irama arus perdana.

Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan edisi ke-17 yang berlangsung pada Selasa lalu membicarakan perihal Lagu Puisi yang dibawa oleh Pusat Budaya Dan Seni, Universiti Utara Malaysia, Alumni Bengkel Puisi Merdeka, Persatuan Pemuisi Nasional (Pemuisi) Malaysia, dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Malaysia lewat laman Facebook Pemuisi Berkarya dan Pusat Budaya UUM.

Segmen bual bicara, Canai Puisi itu telah mengundang ahli panel, Syed Indera Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa yang sinonim dengan lagu puisi.

Tidak asing lagi sebagai penyanyi lagu puisi yang juga merupakan Karyawan Seni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Siso menyatakan keperluan mewujudkan kelompok penghayat tegar lagu puisi dalam kalangan pemimpin atasan, penggiat dan khalayak umum.

Siso, penerima Anugerah Karyawan Seni Aktif daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang baru-baru ini, kini dalam proses gubahan muzik untuk puisi berjudul, Aku Hanya Mahu Ke Seberang karya Kepten Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob.

Menurut Siso, dalam proses pembentukan khalayak penghayat tegar ini, golongan ibu bapa perlu memberi perhatian dan sokongan sekali gus memupuk anak-anak mereka yang berminat dengan genre sastera dan puisi sehingga tercetusnya kecintaan terhadap lagu puisi dalam diri anak-anak.

"Kita juga dapat membentuk penghayat yang ramai melalui saluran pusat kebudayaan di universiti awam kerana dengan ramainya penghayat lagu puisi, maka kita mampu untuk mencungkil bakat besar dan berkualiti tinggi," jelas Siso.

Kata beliau, pusat-pusat kebudayaan di universiti boleh melakukan sesuatu untuk menyumbang kepada perkembangan lagu puisi di peringkat universiti dan hasilnya boleh ditonjolkan ke peringkat nasional bahkan ke peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Malah, antara satu universiti dengan universiti yang lain, juga boleh menganjurkan program pertukaran bahan supaya ia menjadi penggalak kepada generasi muda dalam penghasilan karya yang kreatif dan bernafas baharu," jelas beliau.

Dalam misi pengantarabangsaan puisi Melayu terutamanya lagu puisi, Siso beranggapan nuansa nusantara perlu diperkayakan agar ia memperlihatkan nilai jati diri, akar umbi, dan ciri-ciri tempatan.

"Mat saleh yang menghayati lagu puisi kita ingin menikmati nilai ketulenan negara kita, bukan muzik berentak barat," tegas Siso.

Sementara itu, Pensyarah Asing Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa Melayu, Kolej Bahasa Dan Budaya Timur, Universiti Pengajian Antarabangsa Sichuan, China, Siti Rohanafizah Abu Aziz atau nama penanya Hanna Aleesya, menjelaskan, kaedah beliau mendekati generasi muda ialah dengan meneroka genre muzik berentak rap dalam puisi karyanya.

Sebelum itu, program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 17.0 menampilkan persembahan Rohanafizah yang mendendangkan lagu puisi karya beliau berjudul Dia Aku dalam muzik rentak rap bertajuk, Love.

"Pada pendapat saya, penulis puisi perlu cuba meneroka dunia lagu puisi menggunakan pelbagai genre yang boleh menarik minat generasi muda seperti saya menggunakan genre rap untuk mengetengahkan penyampaian lagu puisi," tegas Rohanafizah.

Menurut Rohanafizah, tujuan beliau ikut serta dalam program deklamasi puisi ini adalah untuk menyemarakkan dunia puisi dan mempromosikan nilai sastera dan bahasa dalam kalangan pelajar asing terutamanya dalam kalangan pelajar Republik Rakyat China di Universiti Pengajian Antarabangsa Sichuan.

"Selain itu, ia bertujuan untuk membuka mata semua ahli masyarakat tentang penghargaan terhadap bahasa Melayu oleh masyarakat di luar Malaysia," jelas beliau.

Pada acara edisi Februari yang lalu, Rohanafizah memperkenalkan tiga orang pelajarnya yang masing-masing menghasilkan karya puisi sendiri. Wei Mengxue juga dikenali dengan nama Melayu, Hawra membaca puisi berjudul Persahabatan yang Kekal, Zheng Yehua dengan nama Melayu, Amsyar mempersembahkan hasil bertajuk Kucing Jingga, dan Song Yu atau Syafiq mendeklamasi karya berjudul Seindah Hijaumu.

Menurut seorang guru Bahasa Melayu yang juga aktivis seni dan sastera dari Singapura yang sudah lebih dua dekad bergiat dalam kebahasaan, persuratan dan budaya melalui organisasi pimpinannya, Persadaku.org Ltd, Yahya Hamid menyatakan bahawa sambutan lagu puisi dalam kalangan generasi muda di Singapura belum begitu baik seperti di Indonesia atau Malaysia.

Menurut beliau, usaha gigih diperlukan untuk meningkatkan minat terhadap lagu puisi dalam kalangan generasi muda dengan lebih memasyarakatkan puisi dan lagu-lagu puisi, khususnya kepada khalayak sasaran.

"Kita wajar terus melestari dan meningkatkan keupayaan berpuisi dan menyebarluaskannya kepada masyarakat umum. Rata-rata kalau orang dengar kata-kata puisi, orang akan menganggapnya sebagai bahasa tingkat tinggi dan sukar difahami. Harus ada suatu usaha merubah sikap demikian," jelas beliau.

Mahasiswa UUM dalam program Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan dari Indonesia, Ahmad Jami'ul Amil yang turut sama mengambil bahagian dalam program penghayatan puisi tersebut menyatakan, lagu puisi di Indonesia disebut musikalisasi puisi iaitu puisi yang dilagukan dengan konsep perpaduan muzik dan seni suara alunan alat muzik menyesuaikan suasana isi serta kreativiti penyanyinya.

Seorang guru Bahasa Indonesia dari Aceh, Mulyo Zubir, pula menjelaskan, istilah lagu puisi di Malaysia dan Indonesia adalah berbeza tetapi pada dasarnya sama-sama melantunkan puisi yang telah tersusun, sehingga menjadi sebuah alunan merdu dan syahdu.

"Perkongsian antara seniman di Indonesia dan Malaysia sudah lama wujud. Ini juga sangat dipengaruhi oleh fakta bahawa kedua-dua negara ini adalah keluarga Melayu.

"Kenangan kami masih segar pada Acara Liga Dangdut iaitu kerjasama antara artis Indonesia dan Malaysia ditandai dengan beberapa gubahan oleh komposer lagu irama Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra dengan gelaran Pak Ngah misalnya pernah mewarnai persada muzik di Indonesia.

"Sudah tentu menjadi harapan semua pihak antara negara, dengan kemajuan teknologi ini, ia akan meningkatkan lagi kerjasama dalam aktiviti, kreativiti dan sentiasa berinovasi untuk memberi warna segar dan baharu dalam seni persembahan membaca dan mendeklamasi puisi," ujar beliau.

Naib Canselor Universiti Malaya ke-8 dan Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2001, Dr. Hashim, yang turut mengikuti program itu memberitahu, generasi baharu perlu memahami lalu mencintai puisi terlebih dulu, kemudian baru boleh menggemari lagu puisi. Mereka katanya perlu tahu bahawa puisi boleh membakar semangat, bina jati diri dan memberi inspirasi untuk membuat perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Menurut beliau, dunia Barat menghargai puisi dan tulisan kreatif, lalu membina negara dengan mesej yang boleh disampaikan oleh tulisan seperti puisi.

Sementara itu, bagi terus menjulang puisi Melayu ke tahap yang lebih gemilang dan terbilang di peta dunia, usaha sama penganjuran program seperti acara Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan yang dipimpin oleh Harlym Yeo, pengasas Alumni Bengkel Puisi Merdeka dengan kerjasama dan sokongan pihak UUM, Pemuisi serta DBP akan terus dilaksanakan setiap bulan.

Acara yang berlangsung dalam talian supaya ia dapat dicapai dan ditonton peminat serta penghayat puisi Melayu segenap pelosok dunia.

Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 17.0 berlangsung pada 2 Februari lalu dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!