Ayam, telur import tampung kekurangan bekalan
KUANTAN- [DIKEMASKINI] Bekalan daging ayam dan telur import dari luar negara adalah alternatif yang akan dilaksanakan kerajaan bagi menampung kekurangan bekalan itu.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, langkah itu hanya bersifat sementara sehingga bekalan ayam dan telur dalam pasaran kembali stabil.
"Kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya. Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah keluarkan arahan mengimport bekalan ayam dan telur untuk tempoh tertentu dan apabila keadaan pengeluaran ayam dan telur sudah meningkat sudah pasti kita akan hentikan pengambilan bekalan import ini.
"Jadi, kita harap pengusaha tidak menaikkan harga sewenangnya dalam situasi kekurangan bekalan ini, sebaliknya mengikut harga pasaran yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Walkabout dan mengedarkan plastik bio mudah urai dalam kempen Pasar tani lestari dan pintar di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini pada Ahad.
Minggu lalu, pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai industri pengeluaran makanan, kerajaan telah bersetuju harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah RM8.90 manakala harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
Susulan itu, peniaga mendakwa bekalan barangan mentah itu semakin berkurangan dan mereka hanya memperolehi bekalan pada kadar terhad diberikan oleh pembekal serta pemborong.
Mohd Fasiah berkata, faktor cuaca yang menyaksikan berlaku bencana banjir buruk dan hujan sepanjang musim Monsun Timur Laut menjadi penyebab kepada masalah kekurangan bekalan.
Jelasnya, perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid dalam satu pertemuan minggu lalu.
"Jadi, ini penyebab bekalan tidak cukup dan kerajaan sedaya upaya sedang atasi masalah itu," katanya.
Mengulas mengenai penetapan harga RM8.90 berkuatkuasa pada Sabtu, beliau menjelaskan kerajaan tidak mahu membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan selepas musibah banjir besar pada Disember tahun lalu.
"Ini adalah harga berpatutan dan tidak membebankan rakyat, pengusaha pula masih memperolehi keuntungan walaupun sedikit," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!