Tentera Rusia di sempadan Ukraine capai tahap 70 peratus

Penempatan pasukan tentera Rusia itu dijangka mencapai kemuncak pada 15 Februari ini dan situasi itu berkemungkinan berterusan sehingga akhir Mac depan. - Foto Agensi
Penempatan pasukan tentera Rusia itu dijangka mencapai kemuncak pada 15 Februari ini dan situasi itu berkemungkinan berterusan sehingga akhir Mac depan. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Penempatan pasukan tempur bagi melancarkan pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine didakwa mencapai tahap 70 peratus sekali gus memberi isyarat operasi ketenteraan itu mungkin akan dilancarkan pada bila-bila masa ketika kebimbangan semakin meningkat jika konflik itu berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Ancaman yang semakin meningkat itu didedahkan maklumat risikan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa jumlah pasukan taktikal dikerahkan ke sempadan Kiev meningkat daripada 60 kepada 83 sehingga Jumaat lalu dan 14 lagi sedang dalam transit.

"Penempatan pasukan tentera Rusia itu dijangka mencapai kemuncak pada 15 Februari ini.

Situasi itu berkemungkinan berterusan sehingga akhir Mac depan," ujar pegawai di Washington yang enggan mendedahkan identitinya.

Seorang lagi pegawai AS memberi amaran kempen pencerobohan berskala besar boleh menyebabkan jumlah kematian yang besar.

"Tentera Ukraine mungkin boleh kehilangan kira-kira 5,000 hingga 25,000 anggota manakala angka korban tentera Rusia boleh mencecah antara 3,000 dan 10,000 orang.

"Selain itu, angka kematian orang awam juga dianggarkan antara 25,000 dan 50,000 orang jika perang itu meletus," ujarnya.

Washington percaya pencerobohan ke atas Kiev berpotensi mencetuskan gelombang tsunami pelarian dan golongan pelarian dalam negara di rantau Eropah.

Pegawai AS tersebut bagaimanapun tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut selepas Kiev sebelum ini pernah menyelar Washington kerana sengaja mencetuskan panik terhadap negara itu sejak beberapa minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Garis masa konflik dan peningkatan pasukan tentera Rusia yang didakwa melebihi 100,000 orang ditempatkan berhampiran sempadan Ukraine menunjukkan usaha untuk rundingan secara diplomasi dikhuatiri mungkin sudah tertutup setelah tuntutan jaminan keselamatan dikemukakan Kremlin tidak dihiraukan Barat. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!