Kedai RM2 Murah Jimat berbaloi

Pelbagai barangan boleh didapati di kedai ini: Foto Sinar Harian: ZAHID IZZANI
Pelbagai barangan boleh didapati di kedai ini: Foto Sinar Harian: ZAHID IZZANI
A
A
A

KLANG - Menawarkan pelbagai pilihan barangan termasuk makanan, yang pastinya membuatkan sesiapa yang bertandang akan teruja, itu antara keistimewaan kedai RM2 Murah Jimat.

Cawangan baharu Kedai RM2 Murah Jimat yang ke 19 di Taman Bayu Perdana, Klang ini menyaksikan bahawa pasaran kedai RM2 ini kian mendapat tempat di hati masyarakat.

Kaunselor dan juga pencetus idea tertubuhnya Kedai RM2 Murah Jimat Hairul Nizam Hashim berkata idea tercetusnya kedai menjual barangan pada harga RM2 ini bermula sekitar selepas Februari tahun lalu.

"Saya mulakan perniagaan ini dengan saya sendiri berniaga pada masa itu, memang agak sukar nak dapatkan barangan yang boleh kita jual dengan harga RM2, kalau ada pun memang kena ambil dalam kuantiti yang banyak.

"Pada masa sama, saya terfikir perniagaan barangan RM2 ini kebanyakan pelanggan Bumiputera, namun yang berniaga adalah dalam kalangan bukan Bumiputera, jadi dari situ saya simpan hasrat untuk memiliki rangkaian perniagaan RM2 ini," katanya.

Menurutnya, kedai RM2 Murah Jimat setakat ini mempunyai 19 cawangan termasuk yang baru dibuka ini.

"Sebenarnya kedai RM2 Murah Jimat ini mempunyai keistimewaan tersendiri, dengan pakej yang ditawarkan, sesiapa sahaja mampu untuk memiliki sebuah kedai RM2 sendiri.

"Antaranya pakej A yang dikategorikan untuk pasar malam, pasar tani, pasar pagi dan dikenakan caj sebanyak RM750, dan bagi perniagaan separuh kedai, caj dikenakan sebanyak RM10,000 untuk pakej B, pakej C pula adalah untuk kedai bersaiz 22X45 kaki persegi dan pakej all in, adalah sebanyak RM55,000, dan untuk pakej ini, pihak kami akan menyediakan sekali barang, rak, wiring, mesin juruwang, dan beberapa urusan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai barangan boleh didapati di kedai ini: Foto Sinar Harian: ZAHID IZZANI
Pelbagai barangan boleh didapati di kedai ini: Foto Sinar Harian: ZAHID IZZANI

Menurutnya, barangan yang ditawarkan jauh lebih murah.

"Bayangkan dengan modal sebanyak 55,000, pihak kami akan menyediakan segalanya, cuma pemilik kedai hanya perlu ada lokasi dan kami akan sediakan mengikut pakej pilihan.

"Jujur saya katakan apa yang kami tawarkan mungkin jauh lebih murah, dan pada masa sama kami turut menyediakan kursus asas kepada mereka yang berminat ingin memulakan perniagaan," katanya.

Jelasnya, apa yang membuatkan pelanggan tertarik adalah harganya.

"Ada perniagaan lain yang jual sebanyak RM2.10, namun di Kedai RM2 Murah Jimat ini, kesemua barangan disini baik baik daripada barangan makanan, keperluan harian dan beberapa barangan lain, sememangnya kita tawarkan dengan harga sebanyak RM2.

"Dan menariknya lagi, setiap kedai RM2 Murah Jimat ini, kita juga ada menjual wafel dan ice blended," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan ini adalah inisiatifnya untuk membantu mereka yang mahu berniaga tetapi tidak tahu kaedahnya.

"Dengan pakej-pakej yang disediakan, mereka yang berminat boleh memilih pakej, dan kita juga akan berikan kursus terlebih dahulu kepada mereka.

"Sekiranya perniagaan berkembang, mereka boleh memilih sama ada membeli barangan daripada kita, atau membeli barangan daripada pihak lain, itu terpulang," katanya.

Kedai RM2 Murah Jimat mempunyai sebanyak 19 cawangan antaranya di Kuala Rompin, Jasin, Alai, Bandar Tun Razak, Klang, Pasir Puteh dan beberapa lagi cawangan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!