Perbandingan binatang hanya ikut sunnah al-Quran, adat Melayu

Tangkap layar hantaran Facebook pada Ahad
Tangkap layar hantaran Facebook pada Ahad
A
A
A
SHAH ALAM - Pengucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggunakan perbandingan berupa binatang hanyalah mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran dan adat Melayu.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, gaya bahasa al-Quran kaya dengan pelbagai peribahasa dan perbandingan.

Tambahnya, perbandingan juga merupakan acuan yang menzahirkan sesuatu makna dalam bentuk yang lebih terasa dan lekat dalam pemikiran manusia.

“Antara peribahasa yang banyak dalam al-Quran ialah melibatkan binatang.

“Al-Quran dalam surah al-A’raf ayat 175-176 menggambarkan manusia berilmu yang meninggalkan ilmunya tanpa amal seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidah ketika lapar atau kenyang. Anjing adalah binatang yang najis.

“Dalam surah al-Jum’ah ayat lima dibandingkan pula golongan berilmu yang tidak beramal ini dengan keldai yang menanggung bebanan yang bermanfaat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, sekiranya Abdul Hadi dituduh sebagai ahli zoologi yang bermaksud ahli ilmu tentang binatang dengan tujuan mempersendakan ia seumpama memperkecilkan gaya bahasa al-Quran.

“Bahkan bahasa Melayu juga kaya dengan perbandingan binatang kerana mereka hidup di alam yang dikelilingi oleh pelbagai jenis haiwan.

“Antara binatang yang sering dijadikan perbandingan dalam peribahasa adalah ikan, harimau, gajah, kera, serigala dan kambing.
Artikel Berkaitan:


“Seperti ikan dalam belanga bermaksud memperoleh keuntungan yang tidak akan terlepas lagi,”ujarnya.

Jelas beliau, perbandingan dengan binatang adalah sunnah al-Quran dan adat Melayu yang kaya dengan bahasa.

“Jika mahu dikatakan ahli zoologi maka sememangnya al-Quran dan bangsa Melayu adalah ahli zoologi yang kaya dengan ilmu tentang binatang,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!