Inisiatif terbaik bantu mangsa serangan pengganas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan tabung khas #Sinar4NZ50Martyrs dilihat sebagai inisiatif terbaik membantu keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam tragedi serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, cetusan idea untuk mewujudkan tabung itu juga disifatkan tindakan mulia kerana sumbangan tersebut dapat membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, penubuhan tabung khas itu juga adalah sebahagian tuntutan syarak kepada setiap Muslimin, selain mendoakan mereka yang syahid.

“Saya sangat bersetuju dengan inisiatif pihak Sinar Harian. Selain bantuan kewangan, kita juga boleh memberikan sokongan secara moral.

“Sokongan moral seperti doa dan kata-kata semangat sangat diperlukan dalam situasi ini dan semoga keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood diberi ketenangan dan tidak berasa takut dengan orang bukan Islam,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatianan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, tabung khas #Sinar4NZ50Martyrs adalah peluang terbaik masyarakat menunjukkan sokongan moral.

“Alhamdulillah, walaupun baru beberapa jam ditubuhkan, tabung khas ini mendapat sambutan positif, sekali gus menunjukkan ada kesedaran daripada masyarakat di negara ini,” katanya.

Menurutnya, tabung itu salah satu cara masyarakat Malaysia menunjukkan keprihatinan terhadap saudara Islam yang ditimpa musibah, tidak kira di mana mereka berada.

Artikel Berkaitan:

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Asmak Hussain pula menyifatkan penubuhan tabung khas #Sinar4NZ50Martyrs sebagai tanda solidariti

"Saya puji pendekatan diambil Sinar Harian kerana ia dapat membantu meringankan beban mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini.

"Ia bukanlah isu biasa, sebaliknya isu global yang memerlukan perhatian semua pihak,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kutipan tabung khas #Sinar4NZ50Martyrs terbahagi kepada tiga fokus utama iaitu mangsa yang meninggal dunia, mangsa cedera dan membantu membaik pulih masjid yang terjejas dalam tragedi yang menggemparkan dunia itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!