Terkejut lebah bersarang dalam topi keledar
ALOR GAJAH - Seorang pekerja kilang yang mahu pulang ke rumah nyaris disengat sekumpulan lebah apabila bersarang dalam topi keledarnya di Pegoh di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 4.25 petang, pekerja kilang terbabit memaklumkan insiden itu kepada seorang pegawai keselamatan kilang yang kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah.
Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, empat anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian anggotanya bertindak mengalihkan topi keledar itu ke kawasan selamat sebelum membakar kertas bagi menghalau lebah.
"Operasi berjaya diselesaikan jam 5.15 petang dan ini merupakan kejadian agak unik kerana lebah hinggap di dalam topi keledar.
"Kebiasaannya anggota kami banyak mengendalikan kes-kes membakar sarang lebah atau tebuan di pokok selain di rumah penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!