Malaysia B-23: Keputusan Wan Ahmad Kuzri dimuktamad Isnin
KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Keputusan sama ada pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal akan menyertai skuad kebangsaan pada saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja bulan ini akan dimuktamadkan Isnin.
Ketua Jurulatih Brad Maloney berkata, esok adalah tarikh akhir untuk memuktamadkan keputusan mengenai penglibatan pemain tengah berusia 20 tahun itu bagi kejohanan tersebut.
"Sejujurnya, kami kesuntukan masa, saya masih belum mendengar apa-apa (perkembangan) dalam tempoh 24 jam yang lalu, saya telah cuba berhubung dengannya dan seperti yang saya katakan, masa semakin suntuk, kami mungkin membuat keputusan pada Isnin (esok),” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan antara skuad B-23 Malaysia dan Sabah FC di Stadium Likas, di sini malam Ahad.
Maloney berharap dapat menggunakan khidmat Wan Ahmad Kuzri untuk skuad negara di Kemboja tetapi memandangkan pemain itu menghadapi beberapa masalah di AS, menyebabkan beliau tiada pilihan terpaksa membuat keputusan akhir esok bagi persiapan AFF B-23 yang ditetapkan bermula 14 Februari.
Pada perlawanan malam Ahad, Malaysia B-23 seri 1-1 dengan Sabah FC menyaksikan anak didik Maloney, T Saravanan menjaringkan gol pertama pada minit ke-76 sebelum Stuart Wilkins menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-81.
Mengulas mengenai prestasi pasukan itu dalam perlawanan tersebut, jurulatih kelahiran Australia itu berkata, secara keseluruhan beliau gembira dengan aksi anak buahnya yang bermain tanpa rasa gentar dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol serta mempamerkan keserasian yang baik antara mereka.
“Masih memikirkan kesebelasan utama, pasukan baru digandingkan, ramai pemain baharu dalam kumpulan ini. Kami perlu memberi peluang kepada semua pemain untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan dalam senarai akhir, kami akan terus berusaha,” katanya.
Skuad kebangsaan B-23 itu, yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen menentang Myanmar pada 15 Februari, diikuti Laos (18 Februari) sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi menentang Indonesia pada 21 Februari.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee memuji skuad Malaysia B-23 yang tidak gentar berhadapan pemain lebih berpengalaman dalam pasukan Sabah FC.
Bekas ketua jurulatih pasukan Malaysia B-23 itu berkata, Maloney dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan B-23 mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas untuk membentuk pemain muda yang berbakat dalam pasukan bola sepak Malaysia, sekali gus mampu membawa pemain ke peringkat seterusnya.
Ditanya mengenai empat pemain Sabah FC dalam skuad B-23 kebangsaan, Kim Swee berkata, bermain di peringkat antarabangsa akan menjadi pengalaman yang sangat berguna buat pemain muda dan beliau menasihatkan mereka untuk mengambil peluang itu bagi memperbaiki diri sebagai pemain bola sepak.
“Sama ada mereka berjaya ke skuad akhir untuk Kemboja atau tidak, yang penting mereka mendapat pengalaman dan pendedahan yang berguna... apabila mereka kembali dan bermain untuk Sabah FC, tahap keyakinan mereka akan lebih tinggi, sudah tentu saya akan memberi mereka peluang untuk bermain seperti perancangan saya untuk musim ini,” katanya.
Empat pemain Sabah itu ialah Mohd Nureizkhan Isa Japar, Gerald Gadit, Azhar Harraz Arman dan Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim.
Mengenai prestasi Sabah FC, Kim Swee berkata, secara keseluruhan pasukan itu telah menunjukkan peningkatan tetapi masih terdapat masalah ketumpulan di bahagian penyudah dan beliau berharap dua penyerang import iaitu Altemir Cordeiro Pessoa Neto, 27, dari Brazil dan Taiki Kagayama, 25, dari Jepun dapat menyelesaikan masalah itu.
“Banyak kelemahan sebelum kami telah perbaiki keadaan itu dan pasukan bermain dengan lancar malam ini (malam tadi), kami cipta banyak peluang tetapi tidak dapat hasilkan jaringan... kami telah memberi peluang kepada penyerang tempatan tetapi mereka gagal realisasikannya, jadi kami mendapatkan penyerang import dan penyerang tempatan juga boleh belajar daripada mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!