'Khalid Adam istimewa buat kami '
KUANTAN - Memiliki anak autisme menuntut ketabahan dan kesabaran ibu bapa dalam mendidik serta menguruskan kanak-kanak istimewa ini.
Pasangan Mazlan Mamat,52, dan Rohaya Wahab,52, yang menetap di Bandar Damansara, turut berkongsi perasaan sama apabila dianugerahkan Khalid Adam Mazlan, 11.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu mempunyai kelebihan berkomuniksi dalam bahasa Inggeris sejak kecil dan obses kepada perkara berkaitan sains dan biologi.
Mazlan berkata, pada mulanya Khalid Adam tidak menunjukan perbezaan kerana tumbesarannya normal kecuali kelakuannya yang hiperaktif dan lambat bercakap.
“Kami tak tahu dia ada sindrom. Yang kami tahu dia lambat bercakap. Ketika kecil dia hyperaktif. Seingat saya dia mula bercakap masa umur lebih kurang dalam 4 tahun.
“Perkataan pertama dia adalah bahasa Inggeris. Jadi kononnya mak ayah bila dengar anak bercakap bahasa Inggeris, kita pun mulalah ajar bahasa itu.. rupanya dia memang bercakap Inggeris,” katanya ketika ditemui dirumahnya, semalam.
Melihat perkembangan itu, Mazlan membawa Adam bertemu pakar perubatan dan dimaklumkan anaknya itu mempunyai masalah Asperger Sindrom iaitu sejenis autism yang berkaitan dengan masalah berkomunikasi.
Jelasnya, pakar perubatan memaklumkan bahawa anaknya itu mempunyai konflik bahasa.
Selain, berbahasa Inggeris dengan loghat British, Adam turut dilihat sebagai seorang berdisplin, tekun,mempunyai ingatan yang kuat dan tidak mudah jatuh sakit.
“Satu perangai dia tak suka ramai orang.. masa sekolah tadika dia tidak bercampur sehingga saya terpaksa berhentikan dia dan duduk di rumah.
Bagaimanapun, Mazlan berkata, Khalid Adam kembali ke sekolah pada usia tujuh tahun dan dia dapat membiasakan diri di sekolah dengan bantuan dan perhatian guru-guru yang banyak mengajarnya berkomunikasi.
“Kalau dengan kita dia berbahasa Inggeris tapi dalam masa dua tahun cuba sedaya cakap Melayu..kalau mengeja pun masih belum mahir dan dia masih confuse,” katanya.
Namun bagi keluarga ini, mempunyai Khalid Adam sebenarnya adalah rahmat buat mereka.
“ Khalid Adam banyak mengajarnya untuk lebih menghargai perkara-perkara kecil dalam kehidupan.
“Dia adalah anak istimewa yang sangat disayangi semua ahli keluarga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!