PRN Johor: MCA nafi surat tular senarai kawasan bertanding
KUALA LUMPUR - MCA menafikan mengeluarkan surat yang tular tertulis senarai kawasan-kawasan parti itu bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan pada Ahad berkata, Barisan Nasional (BN) sentiasa bermusyawarah dan segala keputusan dicapai secara konsensus bersama parti-parti komponen.
“Tular mengenai surat palsu yang menggunakan kepala surat MCA dan nama saya. Kepada mereka yang berniat jahat melakukan fitnah ini untuk memecah-belahkan Barisan Nasional, hentikanlah!,” katanya.
Menurut surat tular yang meletakkan nama Ka Siong serta logo MCA sebagai kepala surat itu, parti berkenaan akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Surat itu menyenaraikan 17 daripada 56 DUN Johor antaranya Pemanis, Yong Peng, Senai, Tangkak dan Johor Jaya.
PRN Johor bakal diadakan susulan pembubaran DUN itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada Rabu ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!