'Kami tidak pernah bertelagah'

Hajiji dan Bung Moktar hadir pada Majlis Penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat pada malam Sabtu.
Hajiji dan Bung Moktar hadir pada Majlis Penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat pada malam Sabtu.
A
A
A

KUDAT - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menolak khabar angin bahawa hubungannya dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa kepimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) retak.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa semua pemimpin dalam GRS sentiasa berhubung antara satu sama lain dan tidak ada berlaku salah faham antara mereka.

"Saya nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung ada di sini, kami tidak pernah bertelagah. Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami.

"Sebenarnya, hubungan saya dengan Datuk Bung Moktar, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden Parti Bersatu Sabah) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden Parti Solidariti Tanah Airku) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat," katanya pada Majlis Penutupan GRS Back Benchers Club di sini pada malam Sabtu.

Beliau yang juga Pengerusi GRS turut menegaskan, meskipun mereka datang daripada pelbagai parti namun semuanya tegas dengan ikrar GRS.

"Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS.

"Dengan (penjelasan) ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey," katanya.

Tambah beliau lagi, mereka sebenarnya saling berhubung antara satu sama lain termasuk Bung Moktar.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah bercakap dengan Datuk Bung bahawa kita perlu melindungi mandat yang diberikan oleh rakyat kepada GRS.

"Kita ada kurang empat tahun sebelum pilihan raya semula, jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan Sabah," katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata, beliau memahami bahawa beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.

"Saya faham perkara ini. Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing.

"Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!