Bot nelayan gaji kru warga Myanmar ditahan
PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menggaji tiga kru warga asing tanpa kebenaran pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi itu, bot nelayan kelas C dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan aktiviti perikanan pada kedudukan 12.2 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau di sini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia 21 hingga 41 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing.
"Sebanyak 1,320 kilogram hasil ikan dan 390 kilogram ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan ke atas bot dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, kesemua suspek bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Nelayan bagaimanapun diingatkan agar sentiasa mematuhi segala undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!