Mayat lelaki warga emas ditemui tersangkut di pokok bambu
BELURAN - Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemui tersangkut pada pokok bambu di Sungai Sugut di Kampung Panindakan Sugut, Paitan, di sini, pada Ahad.
Mayat Gontawas Ellang, 69, ditemui pada jam 11.35 pagi oleh penduduk kampung dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, sebelum ini bot mangsa sudah pun ditemui dan pihaknya percaya mangsa jatuh di sungai berkenaan.
"Hasil daripada operasi SAR, mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tersangkut pada pokok bambu iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi bot mangsa ditemui semalam.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak polis yang berada di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, operasi SAR yang melibatkan tiga anggota dari BBP Beluran itu turut ditamatkan selepas penemuan mayat mangsa.
"Operasi ditamatkan segera pada jam 3.30 petang," katanya.
Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya selepas keluar ke Kampung Salan, Sugut dengan menaiki perahu untuk membeli barang keperluan dapur kira-kira jam 8 pagi pada Jumaat lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!