Perjanjian NCA bukan jual, cagar tanah hutan di Sabah
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Ahad menegaskan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) tidak melibatkan penjualan atau cagaran tanah hutan seperti didakwa pemimpin pembangkang.
Menteri Perikanan dan Pertanian Sabah itu berkata, sebaliknya NCA adalah satu perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon yang memberi manfaat kepada pemuliharaan hutan dan memberi hasil kepada Kerajaan Sabah bagi membangunkan negeri itu.
"NCA ini projek melindungi hutan kita untuk jana pendapatan tanpa memotong satu pokok kayu pun dan mendapatkan kelulusan kabinet negeri, tidak perlu dibawa dan dibentang di Persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri) sebab kita sudah ada perundangan juga keputusan perkara ini di bawah kerajaan negeri.
"Sekarang ini daripada hutan ini ada hasil RM110 juta tetapi hutan rosak ditebang mendapatkan kayu (pembalakan)...daripada potong kayu RM110 juta kalau NCA kita pelihara dapat lebih RM1 bilion jadi mana lebih baik?,” katanya menerusi kenyataan video pada Ahad.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Pembangkang DUN Sabah sebelum ini mendakwa, perjanjian NCA selama 100 tahun itu menyebabkan dua juta hektar hutan di Sabah ‘diserahkan’ kepada sebuah syarikat asing berpangkalan di Singapura.
Perdagangan kredit karbon adalah sistem berasaskan pasaran bagi mengurangkan kesan gas rumah hijau terutama karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memberikan insentif dari segi kewangan.
Jeffrey berkata, hutan di Sabah dilindungi di bawah undang-undang antaranya Enakmen Hutan 1968 dengan pemantauan ketat Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), justeru tiada perkara yang membolehkan hutan negeri ini dibinasakan dengan sewenang-wenangnya.
"Ada rancangan supaya rakyat kita, orang asal kita akan dapat manfaat termasuk orang kampung ada tanah, kita akan daftar mereka untuk bersama nikmati program NCA ini,” katanya.
Justeru, katanya, pemimpin politik di negeri ini diseru supaya berhenti menggunakan isu NCA bagi mendapatkan sokongan politik dengan menyebar maklumat tidak benar, sebaliknya bersama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan Sabah demi rakyat negeri itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!