Peningkatan kes Covid-19 tidak halang PRN Johor diteruskan: Adham
Adham (tengah, berdiri) beramah mesra dengan warga media Johor di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keyakinan itu berdasarkan perkembangan pemberian vaksin Covid-19 telah dilaksanakan selain suntikan penggalak.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Johor dan Ketua Penerangan UMNO negeri menyifatkan keadaan sekarang lebih baik berbanding PRN Melaka dan Sarawak, memandangkan dos penggalak sedang giat diberikan.
"BN Johor yakin prosedur operasi standard ( SOP) yang akan diumumkan SPR pada PRN Johor mampu membantu mengekang daripada penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
"Pengundi akan dilindungi dengan langkah terbaik yang akan dilaksanakan pihak terlibat terutama Kementerian Kesihatan (KMM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Persiapan SPR terhadap kaedah dan cara di tempat mengundi itu juga akan bertepatan dengan SOP yang akan diumumkan dengan unsur-unsur memberi perlindungan di samping boleh keluar mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian pada akhbar selepas perjumpaan Ketua Penerangan UMNO Johor bersama media Johor di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim dan Presiden Kelab Media Johor, Mohd Fauzi Ishak.
Sebelum itu media melaporkan sebanyak 10,089 kes harian direkodkan pada Ahad.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisyam Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 77 kes bersamaan 0.76 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 10,012 kes iaitu 99.24 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!