MotoGP: Bastianini catat rekod terpantas sepusingan di litar Sepang
BIARPUN menggunakan jentera musim lepas, Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing MotoGP muncul pelumba dengan masa terpantas sepusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hari terakhir sesi ujian pramusim MotoGP pada Ahad.
Pelumba berusia 24 tahun itu mencatat satu minit 58.131 saat dalam pusingan ke-13 daripada 25 pusingan, untuk memadam rekod sebelumnya 1:58.303s dilakukan oleh penyandang juara Fabio Quartararo pada 2019.
Pelumba Aprilia Racing Aleix Espargaro yang muncul pelumba terpantas pada sesi pertama dengan 1:58.371s pada Sabtu, di tempat kedua selepas ketinggalan 0.026s di belakang Bastianini dengan mencatat 1:58.157s di pusingan kelapan setelah melengkapkan 38 pusingan.
Jorge Martin dari Pramac Racing yang melakukan 27 pusingan, menduduki tempat ketiga dengan masa terbaik 1:58.243s pada pusingan kelapan.
Mengulas mengenai sesi ujian hari ini, Bastianini menyifatkan prestasinya sebagai ‘luar biasa’ dan pastinya ia mendorong beliau untuk memberikan yang terbaik pada musim akan datang.
"Luar biasa untuk saya dan pasukan tapi hari ini adalah sesi ujian. Saya perlu memperbaiki cara untuk lebih pantas ketika di selekoh,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Espargaro berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pada dua hari sesi ujian pramusim and bertekad untuk berada dalam kelompok enam pelumba terbaik pada akhir musim perlumbaan kali ini, selepas menduduki tempat kelapan tahun lepas.
Pada masa sama, Quartararo yang mewakili Monster Energy Yamaha MotoGP kurang menyerlah pada hari terakhir sesi ujian di sini apabila beliau sekadar mencatat 1:58.313s pada pusingan ke-12 daripada 54 pusingan yang dilakukannya pada hari terakhir untuk menduduki tempat ketujuh.
Juara enam kali Marc Marquez dari Repsol Honda Team pula mencatatkan 1:58.332s pada pusingan kelapan untuk menduduki tempat kelapan manakala juara musim 2020 Joan Mir dari Team Suzuki Ecstar terpaksa berpuas hati di tempat ke-12 dengan 1:59.067s.
Semua pelumba dan pasukan akan ke Litar Mandalika, Indonesia untuk sesi ujian pramusim berikutnya yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Feb ini.
Perlumbaan MotoGP 2022 akan membuka tirai pada 4-6 Mac di Litar Antarabangsa Losail, Doha, Qatar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!