Harap pihak luar tidak salah guna populariti wartawan cilik

Muhammad Haziq diberi peluang merasai pengalaman menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani Kedah.
Muhammad Haziq diberi peluang merasai pengalaman menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Populariti wartawan cilik yang semakin mendapat perhatian ramai diharap tidak disalahgunakan pihak luar sehingga mengakibatkan kanak-kanak itu mengabaikan kesihatan dan pelajaran.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau, Subberi Salleh mengingatkan mana-mana pihak yang ingin meraikan murid tahun lima sekolah itu, Muhammad Haziq Mohd Asyraf agar tidak mengambil kesempatan selain mengambil kira waktu persekolahan yang harus dipatuhi.

Menurutnya, ia juga sebagai memberi ruang kepada Muhammad Haziq membuat persediaan bakal berdepan peperiksaan penggal ketiga tidak lama lagi.

"Pihak sekolah berharap sesetengah pihak tidak ambil kesempatan ke atas populariti Muhammad Haziq sekiranya nak meraikan asalkan pelajaran tidak terabai, ini untuk masa depan dia juga.

"Saya mohon jika ada sesiapa nak hubungi atau berkehendak pada dia seeloknya tengok waktu yang sesuai," katanya.

Beliau ditemui media ketika mengiringi Muhammad Haziq memenuhi jemputan merasai pengalaman memadam api dan menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani pada petang Ahad.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar penganjur sebarang jemputan yang melibatkan kanak-kanak itu mengambil kira faktor kesihatan memandangkan Muhammad Haziq menghidap penyakit talasemia.

Muhammad Haziq diberi peluang merasai pengalaman menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani Kedah.
Muhammad Haziq diberi peluang merasai pengalaman menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi mendapatkan rawatan hospital, dapat kebenaran sekolah, kalau waktu lain tidak hadir, waris terpaksa buat surat beritahu sebab tak hadir.

"Jika tiada surat dikira tak hadir, itu merugikan diri sendiri dan harap ia tidak berlaku.

"Selain itu, kita harap Haziq sendiri pandai jaga diri walaupun dalam keadaan sekarang ni sangat 'famous', dari segi suasana kadang-kadang tempat yang dibawa (majlis tertentu) berbeza dengan keadaan tempat sendiri, seeloknya jaga tata susila, nama baik keluarga dan sekolah," katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Haziq, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata, anaknya akan memenuhi jemputan pada majlis yang bersesuaian sahaja selain jadual perjalanan akan disusun dan dipantau keluarga.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini lebih 20 jemputan dari pelbagai pihak termasuk beberapa syarikat pengeluar produk terpaksa ditolak bergantung kepada tahap kesihatan Muhammad Haziq.

"Haziq perlu ke sekolah dan ada temu janji doktor yang perlu dipatuhi, tak semua jemputan dapat dipenuhi bergantung kepada keadaan selain kekangan lain yang perlu diambil kira.

"Haziq sendiri stress disebabkan terlalu banyak pihak menghubungi sejak video tular, selain tidak boleh cepat letih, dia perlu banyak berehat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nur Shakilla turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudi meluangkan masa memenuhi impian bertemu anak sulung dua beradik itu yang dijadualkan pada Ahad malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!