Cuaca panas beri limpahan rezeki buat peniaga air

Seorang pelanggan membeli dua bungkus air kelapa muda di gerai Nur Muzammir (kanan) di Jalan Stadium di sini pada Ahad.
Seorang pelanggan membeli dua bungkus air kelapa muda di gerai Nur Muzammir (kanan) di Jalan Stadium di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Cuaca panas terik yang melanda negeri Kedah ketika ini memberi limpahan rezeki buat peniaga air terutamanya mereka yang berniaga di tepi jalan.

Peniaga air kelapa, Nur Muzammir Mazlan, 33, berkata, dia bersyukur kerana jualan air kelapa muda yang diusahakan bersama rakannya meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Menurutnya, kebiasaannya pada hari biasa, dia hanya mampu menjual sekitar lima guni kelapa muda, namun sekarang ia meningkat kepada 10 guni.

"Alhamdulillah, cuaca panas ini membawa rezeki kepada peniaga seperti kami yang bergantung kepada jualan air semata- mata.

"Waktu kemuncak selalunya pada jam 1 petang ketika pekerja keluar rehat dan waktu pelajar balik sekolah," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Stadium di sini, pada Ahad.

Nur Muzammir berkata, dia juga terpaksa mengambil bekalan kelapa muda dengan lebih kerap untuk memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi.

"Kalau sebelum ini setiap kali bekalan diambil boleh digunakan untuk jualan lebih daripada empat hari tetapi sekarang dalam masa tiga hari bekalan sudah pun habis.

"Alhamdulillah, sementara cuaca panas macam ini la kami nak tumpang cari rezeki lebih.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun air kelapa ini banyak manfaat, ramai yang suka, pelanggan tetap kami pun terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bangsa," katanya yang beroperasi dari jam 10.30 pagi hingga 6.30 petang.

Nor Syazwani memasukkan air tembikai ke dalam gelas di gerainya di perkarangan Stadium Darul Aman di sini pada Ahad.
Nor Syazwani memasukkan air tembikai ke dalam gelas di gerainya di perkarangan Stadium Darul Aman di sini pada Ahad.

Bagi peniaga air balang pula, Nor Syazwani Rozaidi, 24, berkata, jualannya turut mendapat sambutan baik pada musim panas.

"Saya jual lima jenis air iaitu kelapa muda, cincau, asam, milo dan tembikai. Kalau musim panas macam ini, 200 gelas pun boleh habis, kadang-kadang kita terpaksa tambah lagi.

"Lega juga la tambahan baru-baru ni cuti Tahun Baharu Cina, jadi jualan lebih rancak daripada biasa. Tambahan pula ramai pelancong luar dan mereka yang balik kampung datang beli air serta lain-lain jualan di sini," katanya.

Sementara itu, pekerja sektor awam, Noor Yuhaida Yusof, 36, berkata, keadaan cuaca panas terik menyebabkan dia dan rakan-rakan sering membeli air yang dijual di tepi jalan.

"Kadang-kadang dalam perjalanan balik ke pejabat pada waktu rehat kami akan singgah di mana-mana gerai jual air, selalunya air kelapa muda menjadi pilihan kami.

"Tambahan pula satu jalan sahaja dengan pejabat, jadi lebih mudah. Cuaca sekarang pula panas terik, keluar sekejap pun terasa bahang dan buat kita cepat rasa dahaga," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, cuaca panas yang melanda negeri ini sejak awal tahun ini dijangka berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.

Katanya, Kedah kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu secara amnya negeri di bahagian utara semenanjung akan mengalami cuaca kering.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!