Perikatan Nasional terus kukuh di Kelantan

Kamarudin Md Nor
Kamarudin Md Nor
A
A
A

PASIR PUTEH - Tindakan UMNO Kelantan memutuskan hubungan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) memperkukuhkan lagi Perikatan Nasional (PN) di Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu, sebaliknya mahu terus fokus bekerjasama dengan Pas untuk menghadapi PRU15 nanti.

"Perkara ini (putusnya MN) juga tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan yang sedia ada ketika ini.

"Bersatu Kelantan optimis sokongan terhadap Pas tidak akan berganjak kerana rakyat sudah sebati dengan corak pentadbiran parti itu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Bersatu Bahagian Pasir Puteh pada Ahad.

Menurutnya, kerjasama antara Bersatu dan Pas itu dilihat akan memberi impak kepada PN untuk menyusun strategi bagi mengharungi PRU15.

Beliau berkata, Bersatu sudah mempersiapkan seluruh jentera sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan jika PRU15 berlaku lebih awal.

Kamarudin berkata, soal agihan kerusi di negeri ini, Bersatu menyerahkan kepada pucuk pimpinan di peringkat Pusat untuk membuat keputusan.

Sinar Harian 22 Januari lalu melaporkan UMNO Kelantan mengambil keputusan memutuskan kerjasama dengan Pas Kelantan melalui MN berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Ketetapan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas selepas pertemuan bersama Pas Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!