[VIDEO] Alasan ambil pil kuda untuk tenaga bekerja di bengkel

Dua penunggang menolak motosikal masing-masing menuju ke Akademik JPJ Wilayah Timur Kota Bharu untuk diperiksa oleh pihak berkuasa pada Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Khas Motosikal pada Ahad.
Dua penunggang menolak motosikal masing-masing menuju ke Akademik JPJ Wilayah Timur Kota Bharu untuk diperiksa oleh pihak berkuasa pada Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Khas Motosikal pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Terpaksa ambil dadah supaya bertenaga ketika bekerja di bengkel. Itu alasan diberikan seorang mekanik yang didapati positif dadah jenis metamphetamine selepas ditahan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina malam tadi.

Lelaki berusia 34 tahun itu antara yang ditahan dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan diketuai Pemangku Pengarahnya, Nik Azhan Ab Hadi dan disertai 100 anggota terdiri daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan dan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Kelantan.

Bapa kepada seorang anak yang berusia setahun itu mengaku mengambil dadah sejak dua tahun lalu kerana keperluan dan tekanan kerja serta mendakwa menjadikannya lebih bertenaga.

“Saya menagih pil kuda sebanyak dua hingga tiga kali dalam seminggu dan membelinya daripada rakan sekampung dengan harga RM10 sebiji.

“Isteri memang tidak tahu tentang perkara ini kerana saya ambil dadah secara bersembunyi untuk dapatkan tenaga semasa bekerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi yang dijalankan di Akademik JPJ Wilayah Timur di sini pada Ahad.

Suspek lelaki (tengah) yang berusia 34 tahun ditahan kerana urin positif dadah jenis metamphetamine.
Suspek lelaki (tengah) yang berusia 34 tahun ditahan kerana urin positif dadah jenis metamphetamine.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nik Azhan berkata, sepanjang Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Khas Motosikal terbabit yang dilaksanakan pada 30 dan 31 Januari 2022 serta 5 dan 6 Februari 2022 di negeri itu sebanyak 332 saman dikeluarkan dan 353 kesalahan dapat dikesan.

“Antara kesalahan yang direkodkan adalah 114 berkaitan lesen, cukai jalan dan insurans (213), tidak ada cermin sisi (1) dan teknikal motosikal (25).

“Daripada jumlah itu, empat motosikal disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan 23 kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak menepati standard,” katanya.

Ujar beliau, kesalahan paling tinggi dikesan sepanjang operasi tersebut adalah cukai jalan tamat tempoh dengan 115 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya bermotosikal.

“Seramai lapan penunggang motosikal diarah melakukan ujian saringan urin dan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis metamphetamine termasuk lelaki berusia 34 tahun terbabit.

“Operasi khas ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan maut yang paling tinggi melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal pada saban tahun termasuk yang menunggang ketika khayal dadah sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!