Wan Azizah seru rakyat beri peluang kepada kerajaan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) disambut kakitangan kedutaan Malaysia di Paris ketika tiba di pekarangan hotel penginapan untuk memulakan lawatan kerja empat hari ke Paris. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) disambut kakitangan kedutaan Malaysia di Paris ketika tiba di pekarangan hotel penginapan untuk memulakan lawatan kerja empat hari ke Paris. - Foto Bernama
A
A
A

PARIS - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia agar bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan pelbagai masalah bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata kerajaan mungkin memerlukan setahun ataupun tiga tahun, malah mungkin lebih daripada itu untuk memperbaiki negara yang telah berada bawah amalan kleptokrasi selama 61 tahun.

“Untuk memperbaiki sesuatu yang sudah lama bukan mudah, tiada ‘tongkat sakti’, tidak ada butang automatik yang anda boleh tekan (untuk selesaikan segala-galanya)...ia tidak berfungsi seperti itu...ia memerlukan kerja keras dan air mata dan harus diusahakan oleh semua orang rakyat Malaysia.

“Kita mesti bekerja keras untuk memperbaiki keadaan yang runcing dan proses ini mungkin mengambil masa lama lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Diaspora Bersama Rakyat Malaysia di Perancis di sini Ahad.

Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan kerja empat hari ke negara ini dengan agenda utama bagi mempengerusikan Mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST), Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Sainstifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Sesi Ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

Pada majlis yang dihadiri komuniti dan pelajar Malaysia yang berada di Perancis itu, Dr Wan Azizah juga menjelaskan bahawa perpaduan rakyat merupakan elemen penting dalam negara mengorak langkah ke arah Malaysia baharu.

Dr Wan Azizah berkata sebagai sebuah negara yang majmuk, tidak harus ada mana-mana kaum merasa iri hati dan berprasangka buruk terhadap kaum lain.

“Kita melihat New Zealand itu satu negara yang begitu stabil, sejahtera dan begitu aman, tetapi dikejutkan dengan white-supremacy (ketuanan bangsa kulit putih) yang menyerang orang yang sedang bersolat, tidak bersenjata...kita tidak boleh membenarkan antara kita merasakan iri hati, marah dan benci sesama sendiri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut menyeru komuniti dan pelajar Malaysia yang berada di Perancis untuk pulang ke tanah air bagi membantu membangunkan negara menerusi kepakaran dan pengetahuan masing-masing.

“Kita memerlukan semua diaspora Malaysia dari seluruh dunia untuk membantu membina Malaysia baharu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!