Kerajaan Johor cadang sekolah tahfiz tawar pendidikan TVET
JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mencadangkan agar sekolah tahfiz di negeri ini menawarkan subjek latihan kemahiran sebagai pendidikan tambahan untuk melengkapkan 4pelajarnya dengan ilmu yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, pemilihan Subjek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat pilihan yang baik untuk membantu pelajar di sekolah berkenaan mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Selain ilmu agama, program TVET bertujuan membolehkan pelajar berkenaan dapat menimba ilmu dan kemahiran tambahan yang diharap dapat membantu mereka mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
"Saya secara peribadi mengharapkan agar semua institusi pendidikan Islam dapat melahirkan anak-anak pelajar yang bukan sahaja alim dalam bidang agama, malah juga mahir dalam bidang lain untuk memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) sebelum menyampaikan bantuan pengurusan tahfiz sebanyak RM1 juta di Hotel New York di sini, pada Ahad
Hasni berkata, program TVET itu juga dilihat salah satu usaha kerajaan membantu pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam merencana pelan pendidikan bersepadu untuk pelajar, sama ada dalam bidang akademik mahupun keagamaan terutamanya bagi pelajar-pelajar sekolah tahfiz.
"Pelbagai langkah dibuat untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna, terkini dan sentiasa ke hadapan sesuai dengan agama Islam itu sendiri yang bersifat anjal dan sejagat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga turut menzahirkan rasa bangga kerana kerana antara usaha dibuat adalah memastikan semua sekolah tahfiz di negeri ini mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).
“Sudah tentu dengan pendaftaran bersama JAIJ ini, semua sekolah boleh dipantau dan perkembangannya dapat diurus dengan baik, sekali gus membolehkan pelbagai bantuan disalurkan bagi kepentingan semua pihak.
"Proses ini akan dapat dipermudahkan lagi dengan adanya garis panduan yang telah pun dibukukan dan diterbitkan oleh JAIJ menerusi JTQA ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!