Agong berkenan saksi persembahan demonstrasi antikeganasan PDRM
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan persembahan demonstrasi antikeganasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.
Dalam demonstrasi itu, Al-Sultan Abdullah dipersembahkan dengan aksi operasi khas menyelamat tebusan dan menahan sekumpulan pengganas disusuli acara pertunjukan aset keselamatan milik PDRM.
Demonstrasi berkenaan dijayakan oleh seramai 220 anggota Unit 69 Komando (VAT 69), Unit Tindakan Khas (UTK) serta Pasukan Gerakan Am, 'Tiger Platoon'.
Al-Sultan Abdullah turut diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Baginda dalam pada itu turut berkenan melawat reruai berkaitan demonstrasi antikeganasan di Pulapol sebelum berangkat pulang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!