Masjid Al-Mustaqim beri penjelasan isu saf depan untuk AJK, VIP
AMPANG - Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana memberi penjelasan terhadap isu saf hadapan solat Jumaat yang didakwa dikhususkan untuk ahli jawatankuasa (AJK) dan orang kenamaan (VIP) seperti tular di media sosial, pada Jumaat lalu.
Dalam satu kenyataan, pengurusan masjid itu memberitahu, AJK dimaksudkan termasuk tiga orang imam, dua bilal yang merupakan sebahagian individu yang bertugas bagi memastikan kelancaran jemaah supaya mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.
"Adalah dimaklumkan gambar yang tular di media sosial pada jam 1.19 petang menunjukkan ruang kosong tersebut adalah untuk AJK yang sedang menjalankan tugas seperti menjaga pagar utama masjid dan menyusun kedudukan saf jemaah manakala VIP yang dimaksudkan telah berada di ruang disediakan.
"Untuk makluman semua, jika AJK terlibat gagal memenuhi ruang hadapan selepas azan pertama disebabkan terdapat perkara tidak dapat dielakkan, jemaah lain boleh ke hadapan bagi memenuhi saf tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Pada Jumaat tular di Facebook mengenai isu saf hadapan yang dikhaskan untuk AJK dan VIP di masjid berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pihak masjid memohon maaf di atas salah faham yang berlaku dalam isu tersebut.
"Besar harapan kami agar semua pihak mendapatkan kesahihan sesuatu isu sebelum membuat sebarang sebaran di media sosial. Semoga kenyataan rasmi ini dapat menjelaskan keadaan sebenar dan tidak lagi mengeruhkan isu tersebut," menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!