Jurutera diminta kemuka penjelasan isu air bertakung

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dibuka pada 13 Januari lalu.
Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dibuka pada 13 Januari lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Jurutera pengendali projek Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini diminta untuk mengemukakan penjelasan terperinci mengenai kejadian air bertakung di jalan tersebut.

MBPP dalam satu kenyataan pada Isnin juga mengarahkan perunding projek serta kontraktor untuk turun padang bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

"MBPP telah meminta jurutera mengendalikan projek MBPP untuk mengemukakan penjelasan secara terperinci mengenai kejadian tersebut.

"Selain itu, MBPP juga akan mengadakan ronda berkala serta membuat pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Intelligent Center (IOC) MBPP," kata kenyataan itu.

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dinobatkan sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia ditakungi air selepas hujan lebat kira-kira 40 minit pada petang Sabtu lalu.

Video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial dan mendapat kecaman ramai selain warganet turut melahirkan kekecewaan apabila projek itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati takungan air tersebut adalah disebabkan sampah sarap yang banyak serta daun-daun kering yang telah menghalang laluan air ke sistem perparitan sedia ada.

MBPP telah mengarahkan kakitangan pembersihannya untuk membersihkan sampah sarap serta-merta bagi mengelakkan perkara sama berlaku.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, MBPP telah mempelawa pakar-pakar dari The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Pulau Pinang untuk bersama-sama mengenalpasti punca utama kejadian air bertakung itu.

"Kita berasa kesal atas kejadian yang berlaku kerana insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

"MBPP telah mempelawa pakar-pakar dari IEM untuk bekerjasama dengan MBPP serta jurutera perunding MBPP bagi mengenalpasti punca utama kejadian tersebut serta memberi khidmat nasihat terutamanya dari aspek teknikal," kata kenyataan itu.

MBPP juga meminta orang awam supaya tidak memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan membuang sampah di jalan berkembar berkenaan.

"MBPP melarang sekeras-kerasnya mereka yang memberhentikan kenderaan selain membuang sampah di merata-rata tempat di sepanjang Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus).

"MBPP berharap agar orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan di kawasan tersebut," kata kenyataan itu.

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang bernilai RM378.2 juta dibuka secara rasmi kepada kegunaan orang ramai bermula 13 Januari lalu.

Projek tersebut adalah lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter selain menyediakan lorong basikal di sepanjang jalan berkembar tersebut.

Projek yang menelan belanja RM378.2 juta itu merupakan satu jalan alternatif kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dibuka pada 13 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!