Rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor: Mazlan
JOHOR BAHRU - Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor merayu pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, perkara itu perlu selepas melihat peningkatan mendadak jangkitan Covid 19 sejak beberapa hari lalu dan kebimbangan mengenai varian Omicron yang boleh tersebar luas.
“Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid 19 dan varian Omicron, patik merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor.
“Keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah segera bagi mengekang Covid 19 yang kembali meningkat termasuk menghadkan pergerakan rakyat melalui prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mazlan yang juga bekas ahli jawatankuasa (AJK) Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional berkata, perkara itu dilihat bersesuaian apabila sebelum ini telah diisytiharkan darurat pilihan raya bagi beberapa negeri berikutan isu sama.
“Perkara ini (darurat) telah dilakukan pada PRN Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi (Sabah) dan PRK Gerik (Perak) atas alasan sama.
“Nyawa rakyat adalah segala-galanya sekarang, manakala mandat (PRN Johor) yang diberikan rakyat kita boleh buat sekali ketika PRU15 nanti, lebih sesuai dan menjimatkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!