AS bikin panik lagi
WASHINGTON - Rusia bakal menceroboh Ukraine dalam tempoh beberapa hari lagi.
Amaran itu dikeluarkan Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan beberapa hari selepas Rumah Putih memaklumkan ia tidak lagi menganggap ancaman pencerobohan Moscow semakin hampir setelah diselar Kiev kerana mendakwa ia telah mencetuskan panik.
"Kita sudah berada di ambang peperangan. Kempen ketenteraan Moscow akan dilancarkan pada bila-bila masa atau mereka masih boleh memilih jalan diplomatik untuk meredakan konflik tersebut," ujarnya ketika wawancara bersama program Fox News Sunday pada Ahad.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas dua pegawai di Washington mendakwa penempatan pasukan tentera Rusia untuk melancarkan operasi ketenteraan berskala besar ke atas Ukraine sudah mencapai tahap 70 peratus.
Menerusi satu lagi wawancara bersama Meet the Press di NBC, Sullivan mendakwa matlamat kempen pencerobohan terbaharu Rusia itu termasuk menguasai wilayah Donbass yang menyaksikan insiden pertempuran yang berlarutan antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine sejak 2014.
"Kami percaya Moscow telah bersiap sedia dengan keupayaan ketenteraan mereka untuk melancarkan operasi ke atas Kiev, namun kami juga sudah bersiap siaga untuk bertindak balas," tegas Sullivan lagi.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba bagaimanapun menggesa orang ramai supaya tidak menghiraukan 'ramalan malapetaka yang dahsyat' berhubung pencerobohan Rusia.
"Pada hari ini, Kiev mempunyai pasukan tentera yang kuat dan kepercayaan rakyat selain sokongan negara antarabangsa yang luar biasa. Musuh sepatutnya takut dengan kami bukan sebaliknya," tegasnya.
Kira-kira seminggu lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menyifatkan negara itu tidak akan menerima nasib seperti 'tenggelamnya Titanic' dan turut menuduh Washington serta laporan media barat yang sengaja mencetuskan panik dan menakut-nakutkan penduduk Kiev tentang ancaman pencerobohan oleh Moscow. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!