Petani, penganggur didakwa edar ganja, berdepan hukuman mati
KANGAR - Seorang petani dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 266.291 kilogram (kg) di Simpang Empat, Kangar, bulan lalu.
Menurut kertas pertuduhan, Anas Shakir, 33, dan Tuan Amiruldin Tuan Ali, 29, dituduh mengedar dadah itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lat Seribu, Simpang Empat, Kangar pada jam 8.40 pagi, 24 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan; dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman mati, atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.
Kedua-dua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali kemudiannya menetapkan 7 April depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Alia Suzila Chek Pi, manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.
Pada 27 Januari lalu beberapa media melaporkan kejayaan polis menahan enam lelaki berusia 28 hingga 45 tahun dalam satu operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perlis pada 24 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!