Ahli Bersatu keluar parti hanya kes terpencil

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar daripada parti itu hanyalah kes terpencil sahaja.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kes seperti itu seringkali berlaku pada musim pilihan raya.

“Malah kalau kita ingat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), perkara yang sama berlaku dalam Armada atau Bahagian, tetapi Bersatu tetap memperolehi kerusi-kerusi tertentu di Johor.

“Jadi sokongan terhadap parti politik tidak boleh ukur dari segi kehilangan ahlinya sahaja.

“Ini kerana ketika ini saya yakin pengundi atas pagar itu yang menentukan kemenangan mana-mana parti politik termasuk UMNO sendiri,” katanya kepada media selepas ziarah ke gereja yang musnah dalam kebakaran di Kota Kemuning, Shah Alam pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, biarlah medan demokrasi PRN Johor yang menentukan sama ada bersatu ini relevan atau tidak.

“Insya-ALLAH saya yakin dengan jentera yang ada dengan sentimen kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih kukuh. Termasuk sentimen negatif ke atas UMNO yang masih mengikut biawak hidup seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dan begitu juga parti lain yang bertanding mampu memberi kejutan kepada UMNO di kubu kuat mereka di Johor,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga mampu memberi saingan.

“Saya yakin Muda punya kekuatan lebih kepada pengundi anak muda yang menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Manakala kami berentap dengan UMNO untuk memenangi jiwa pengundi muda di kawasan Melayu Bumiputera.

“Insya-ALLAH, kita tidak menentang dan berhadapan sangat malah sekiranya Muda dia boleh ‘denied’ PN di kawasan tertentu satu kelebihan buat kami, dan kita mempunyai hala tuju yang sama untuk denied BN menang di Johor,” jelasnya.