[VIDEO] Covid-19: Pesakit kategori satu tidak perlu hadir ke CAC
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pesakit Covid-19 kategori satu yang tiada gejala, 2A, dan tidak berisiko tinggi tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Sebaliknya kata Menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pesakit perlu melakukan pemantauan kendiri setiap hari melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
"Perkhidmatan mesej ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan automated voice recording (robocall) akan dihantar sekiranya anda tidak menjalankan pemantauan kendiri melalui MySejahtera," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menjelaskan dengan lebih lanjut kategori 2A, beliau berkata, ia adalah keadaan pesakit Covid-19 bergejala ringan seperti sakit tekak, selsema tanpa demam atau sesak nafas.
Menurutnya, individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian tahap keterukan jangkitan akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon.
"Individu yang positif Covid-19 kategori 2B iaitu bergejala sederhana dan ke atas atau yang berada dalam kumpulan berisiko serta tidak mempunyai vaksinasi dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat untuk pemeriksaan tanpa perlu menunggu panggilan telefon daripada pejabat kesihatan daerah (PKD)," katanya.
Khairy berkata, tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang tidak bergejala dan telah lengkap vaksinasi adalah tujuh hari, manakala 10 hari bagi yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi.
"Bagi individu dikenalpasti sebagai kontak rapat pula, tempoh isolasi adalah lima hari bagi penerima dos penggalak dan tujuh hari bagi mereka yang lengkap vaksinasi sementara 10 hari mereka yang tiada vaksinasi," katanya.
Ujarnya, kesemua kontak rapat yang tidak bergejala tidak perlu hadir ke CAC dan melakukan ujian pengesanan Covid-19.
"Kontak rapat akan diberikan perintah pengawasan di rumah (HSO) digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman," katanya.
Beliau berkata, ujian kendiri perlu dilakukan sekiranya kontak rapat itu bergejala.
"Jika positif dan dalam kategori 2A, teruskan pengasingan di tempat kediaman," katanya.
Sementara itu, KKM mengaktifkan semula National Covid- 19 Rapid Response Task Force (RRTF) yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang baharu Omicron.
"RRTF adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan antaranya menambah katil dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!